Monday, August 17, 2009

Kerajaan Bani Abbasiyyah

Kerajaan Bani Abbasiyyah (Arab: العبّاسدين al-Abbāsidīn) ialah nama yang diberi bagi Khalifah Baghdad iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Kerajaan ini merampas kuasa pada tahun 750 selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Ummaiyyah dalam medan peperangan. Kerajaan ini berkembang selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki yang mereka cipta. Kerajaan ini akhirnya berakhir pada tahun 1258 selepas Hulagu Khan iaitu seorang panglima tentera Mongol menghancurkan Baghdad.

Adalah dikatakan bahawa keturunan khalifah Abbasiyyah datang dari Saidina Abbas bin Abdul Muttalib (566-652) yang merupakan salah seorang daripada bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., oleh itu mereka merasakan diri mereka layak untuk menjadi khalifah memandangkan salasilah keturunan mereka itu. Bani Ummaiyyah pula ialah salah sebuah daripada golongan dalam kaum Quraish yang berlainan daripada keturunan nabi.
Wilayah Abbasiyyah semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid.

Muhammad ibni Ali, cicit kepada Saidina Abbas menjalankan kempen untuk mengembalikan kuasa pemerintahan kepada keluarga Bani Hashim di Parsi semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Semasa pemerintahan Khalifah Marwan II, penentangan ini semakin memuncak dan akhirnya pada tahun 750, Abu al-Abbas al-Saffah berjaya menewaskan tentera Ummaiyyah dan kemudiannya dilantik sebagai khalifah.

Masalah dan Cabaran

Kerajaan Abbasiyyah amat bergantung kepada sokongan orang Parsi dalam usaha mereka menjatuhkan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Pengganti Khalifah Abu al-Abbas, al-Mansur, memindahkan pusat pemerintahan mereka daripada Damsyik ke Baghdad di Iraq berhampiran ibu negara Parsi lama, malah menggunakan kembali batu-batu dari binaan Parsi bagi membina bangunan di pusat pentakbiran baru mereka. Bani Abbasiyyah membangunkan pemerintahan muslim mereka dan meniru pemerintahan mutlak Parsi. Mereka turut mengalu-alukan kedatangan orang bukan Arab Muslim ke sana. Hal ini membantu mengintegrasikan budaya Arab dan Parsi tetapi langkah ini mengasingkan banyak penyokong berbangsa Arab mereka.
Duit syiling semasa pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid.

Keadaan ini dengan cepat menimbulkan banyak masalah. Bani Ummaiyyah walaupun tewas tetapi mereka masih tidak dimusnahkan. Saki-baki golongan Bani Ummaiyyah selepas kekalahan mereka melarikan diri ke Sepanyol dan menubuhkan sebuah kerajaan di sana yang juga digelar Kerajaan Ummaiyyah.

Kerajaan Abbasiyyah juga menghadapi kesukaran dengan golongan Syiah. Golongan Syiah banyak membantu Abbasiyyah memandangkan mereka merupakan keturunan Nabi Muhammad s.a.w., tetapi Abbasiyyah ialah Ahli Sunah Waljamaah dan mereka menghalang kegiatan puak Syiah sebaik sahaja memegang kuasa. Hal ini mengakibatkan berlaku lebih banyak konflik.

Ancaman ini mendorong Khalifah Bani Abbasiyyah untuk memusnahkan musuh mereka dengan kejam, melaksanakan upacara istana yang mewah, dan membiayai penulisan moden. Keadaan inilah menjadi asas bagi penulisan kesah Seribu Satu Malam, kumpulan cerita yang menggambarkan kemewahan Timur yang ditulis di Baghdad semasa pemerintahan Khalifah Bani Abbasiyyah.

Dalam masa yang sama, kerajaan Abbasiyyah menghadapi cabaran yang lebih berbahaya. Empayar Byzantine sedang berperang dengan Kerajaan Abbasiyyah di wilayah pemerintahan Abbasiyyah di Anatolia dan Syria. Bagaimanapun dari sudut pandangan barat, kebangkitan Puak Bani Abbasiyyah adalah penting, bukan sahaja kerana kerana perkembangan dalam penulisan dan lagenda, tetapi juga kerana kecenderungan mereka kearah timur telah mengurangkan tekanan kepada kawasan Mediterranean, membenarkan negara Byzantian keupayaan untuk bangkit kembali, dan puak Frank jauh di barat untuk mulai membentuk kekuatan mereka. Pemerintah Frank, Charlemagne mengekalkan hubungan diplomatik dengan khalifah Harun al-Rashid yang telah menghantar hadiah seekor gajah kepada puak Frank.

Mamluk

Peta empayar Islam Abbasiyyah pada zaman kemuncaknya.

Apabila kuasa Bani Bani Abbasiyyah mulai merosot pada pertengahan abad ke sepuluh, terdapat tempoh perpecahan yang berlarutan. Punca utama kelemahan Bani Bani Abbasiyyah adalah kemerosotan asas ekonomi utama mereka, kekayaan dari perladangan di lembah Tigris-Euphrates. Selain itu kerajaan Abbasiyyah turut menghadapi cabaran di dalam dan luar negara. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan Abbasiyyah memutuskan untuk mencipta sebuah unit angkatan tentera yang setia kepadanya yang kebanyakan datang daripada hamba berbangsa Turki yang dikenali sebagai Mamluk. Pasukan ini yang dicipta sewaktu zaman Khalifah al-Ma'mun (813-833) dan zaman pemerintahan khalifah berikutnya iaitu Khalifah al-Mu'tasim (833-842). Pasukan tentera ini berjaya menghalang empayar Islam ini daripada terus diancam.

Golongan Mamluk ini tidak lama kemudian mula mendapat pengaruh secara perlahan sehinggalah mereka merampas kuasa. Selepas itu, pemimpin Bani Abbasiyyah menjadi boneka sehingga khalifah mereka dimusnahkan sepenuhnya oleh puak Mongol pada 1258. Daripada 945 sehingga abad ke enam belas politik dunia Islam dikuasai oleh politik tempatan dengan beberapa pemerintah lemah berlainan, seringkali orang Turki yang memerintah kawasan berlainan. Bagaimanapun kebudayaan Islam terus berkembang semasa "tempoh pertengahan", terutamanya antara 900 sehingga 1250, pada masa yang sama apabila pemerntahan Islam berkembang ke Turki moden dan India. Kemudian empayar Islam moden muncul, yang menonjol di barat adalah Othman Turki yang mengawal sebahagian besar Eropah barat dan Timur Dekat dari abad ke lima belas sehingga 1918.

Pembelajaran semasa zaman Abbasiyyah

Zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid (786 - 809) dan penggantinya menandakan bermulanya perkembangan ilmu pengetahuan.
Istana Abbasiyyah.

Banyak golongan-golongan pemikir lahir semasa zaman ini, ramai diantara mereka ialah bukan Islam dan bukan Arab Muslim. Mereka ini memainkan peranan yang penting dalam menterjemahkan dan mengembangkan karya Greek dan Hindu, dan ilmu zaman pra-Islam kepada masyarakat Kristian Eropah. Sumbangan mereka ini menyebabkan seorang ahli falsafah Greek iaitu Aristotle terkenal di Eropah. Tambahan pula, pada zaman ini menyaksikan penemuan semula ilmu geografi, matematik, dan astronomi seperti Euclid dan Claudius Ptolemy. Ilmu-ilmu ini kemudiannya diperbaiki lagi oleh beberapa tokoh Islam seperti Al-Biruni dan sebagainya.

Zaman ini juga menyaksikan lahir sarjana-sarjana Islam terkenal seperti Ibnu Sina, Al-Khindi, al-Farabi dan sebagainya. Sarjana-sarjana Islam ini meningkatkan lagi pencapaian Islam dalam bidang perubatan melalui pengetahuan yang diwarisi daripada Zaman Yunani yang diserap dan digabung dengan kajian yang mereka lakukan. Avicenna telah mengenal pasti sifat berjangkit pada penyakit batuk kering, menggambarkan pleurisy, dan pelbagai jenis penyakit saraf yang lain. Beliau turut menjelaskan bahawa penyakit boleh tersebar dengan pencemaran air dan tanah. Kitab perubatannya yang paling utama 'Canon' telah diterima pakai di Europah sebagai buku teks rasmi sehingga abad ke tujuh belas. Rhazes (865-925) merupakan pakar perubatan klinikal pada zaman medieval. Pencapaiannya yang utama adalah jumpaan mengenai perbezaan antara measles dan smallpox. Pakar sains Islam yang lain telah mengetahui mengenai kebaikan penyucian (cauterization), dan agen jangkitan (styptic), mengenal pasti barah perut, memberikan penawar racun, dan mencapai kemajuan cemerlang dalam merawat penyakit mata. Selain itu mereka mengenal pasti ciri-ciri jangkitan wabak bubonic, dengan menyatakan bahawa ia boleh disebarkan melalui pakaian.

Selain itu hospital semasa pemerintahan Islam merupakan paling maju dalam pentakbiran hospital dan pengawalan perkhidmatan perubatan. Terdapat sekurang-kurangnya tiga puluh empat hospital di bandar utama Persia, Syria, dan Mesir, yang diatur sebagaimana hosital moden. Setiap hospital mempunyai wad menurut jenis penyakit, dispensari, dan perpustakaan. Ketua pakar perubatan dan pembedahan memberi syarahan kepada pelajar dan pelatih, menguji mereka, memberikan lesen untuk berkhidmat. Malah pemilik lintah, dalam kebanyakan kes juga juga merupakan tukang gunting rambut, terpaksa menyerahkannya bagi pemeriksaan menurut tempoh masa berkala.

Pencapaian bidang saintifik Islam yang lain adalah dalam bidang optik, kimia, dan methematik. Pakar sains Islam mengasaskan bidang optik dan menyatakan beberapa kesimpulan penting berkenaan teori kanta pembesar, kepantasan, pengaliran, dan biasan cahaya. Ahli kimia Islam turut mengatasi alkhemi, rekaan Yunani Hellenistik, sistem kepercayaan bahawa kesemua logam pada asasnya adalah sama, dengan itu logam asas boleh ditukarkan kepada emas sekiranya perkakasan yang betul (batu falsafah) dapat dijumpai. Hasil ujian pakar kimia Islam, sesetengahnya menolak teori penukaran logam sepenuhnya. Selain itu,mereka turut menjumpai pelbagai jenis unsur dan sebatian baru, antara lain soda karbonat, tawas, borax, silver nitrat (larutan ion perak), saltpeter, nitrik dan asid sulfrik. Selain itu,ahli sains Islam merupakan yang pertama menggambarkan proses kimia penyulingan, penapisan dan sublimation.

Dalam bidang methmetik, pencapaian teragung pakar sains Islam adalah menggabungkan geometri Yunani dengan sistem nombor hindu. Dengan pengenalan nombor sifar (0), pakar mathematik Islam telah berjaya mengembangkan pengiraan berasaskan sistem perpuluhan dan memajukan algebra. Dengan asas geometri Yunani kepada rujukan pergerakan bintang-bintang, pakar methematik Islam mencapai kemajuan pesat dalam trigometri sphere. Dengan itu mereka menyatukan dan memajukan kesemua bidang pengatahuan methematik.

Dalam bidang astrologi, kajian teliti dilakukan mengenai perubahan kedudukan bintang, malah terdapat dari mereka yang menimbangkan kemungkinan bumi berputar dan beredar mengelilingi matahari. Tetapi teori ini ditinggalkan kerana ia tidak selaras dengan pemikiran silam masa itu seperti orbit planet yang berbentuk bulat.

Dalam bidang perdagangan, perkembangan perdagangan tidak mungkin wujud tanpa perkembang perindustrian. Hampir setiap negeri mempunyai pengilangan sesuatu yang khusus, Mosul di Syria merupakn pusat kapas, dan kain; Baghdad khusus dalam penghasilan barangan kaca, perhiasan, barangan tembikar, dan sutera; Morocco dalam penghasilan barangan kulit; Toledo di Sepanyol bagi penghasilan pedangnya yang terbaik.Selain itu terdapat pelbagai bandar lain yang turut menghasilkan dadah, minyak wangi, karpet, tapestries, brocades, satin, barangan logam, kertas dan lain-lain.

Dalam kesemua bidang, Islam mengatasi barat sehinggalah abad ke dua belas, apabila negara barat maju kehadapan dengan sebahagiannya dari apa yang dipelajari mereka daripada Islam. Dalam bidang ekonomi, barat menyerap pengetahuan dalam bidang pengaliran, penanaman tanaman baru, penghasilan kertas, penyulingan. Tahap pengaruh Islam kepada ekonomi barat dapat dilihat dalam sejumlah besar perkataan Inggeris yang berasal daripada Arab atau Persia. Antara lain adalah traffic, tariff, magazine, alcohol, muslin, orange, lemon, alfalfa, saffron, sugar, syrup, dan musk. Dalam bidang sains pula perkataan seperti algebra, cipher, zero, nadir, amalgam, alembic, alchemy, alkali, soda, dan almanac

Kejatuhan Kerajaan Abbasiyyah

Hulagu Khan menyerang dan memusnahkan Baghdad pada 10 Februari 1258, menyebabkan kehilangan nyawa yang banyak. Al-Musta'sim, pemerintah terakhir Abbasiyyah kemudiannya dihukum bunuh pada 20 Februari 1258. Banyak buku-buku rujukan yang tidak ternilai musnah akibat serangan Mongol ini. Adalah dikatakan bahawa seramai 800,000 penduduk Baghdad mati dibunuh oleh tentera Mongol.

Kerajaan Bani Ummaiyah

Kerajaan Bani Ummaiyyah (Arab بنو أمية banū umayya / الأمويون al-umawiyyūn); Parsi امویان (Omaviyân), Turki, Emevi) ialah kerajaan khalifah Islam berasaskan perwarisan pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Kerajaan ini terdiri daripada keluarga di dalam kaum Quraish Makkah. Kerajaan Bani Ummaiyyah ini berkuasa dari tahun 661 masihi sehingga tahun 750 masihi. Ironiknya kaum Bani Ummaiyyah sebelum ini pernah menjadi musuh ketat Islam sebelum mereka memeluk Islam.

Asal nama kerajaan Bani Umaiyyah adalah mengambil nama sempena nama datuk Muawiyah,pengasas kerajaan ini iaitu Umaiyyah bin Abdul Syams,seorang pemimpin kaum Quraish yang kaya dan berpengaruh.

Muawiyah telah menjadi Gabenor Syria di bawah pemerintahan khalifah ketiga Islam, Saidina Uthman Affan. Pada tahun 35 Hijriah,kota Madinah yang menjadi ibu kota negara Islam telah dilanda krisis politik yang hebat sehingga mencetuskan pemberontakan menentang kerajaan. Akibatnya, Khalifah Uthman bin Affan dibunuh oleh pemberontak. Selepas peristiwa pembunuhan Saidina Uthman, Saidina Ali Abi Talib telah dilantik menjadi khalifah yang baru.

Memandangkan pembunuh Saidina Uthman yang melantik Saidina Ali sebagai khalifah, Muawiyah enggan menerimanya sebagai khalifah dan menentang Saidina Ali pada tahun 657.Beliau tidak mengiktiraf Saidina Ali menjadi khalifah kerana Muawiyah telah menuduh Saidina Ali terlibat dalam pakatan membunuh Khalifah Uthman.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Rundingan ini dilihat oleh para pengikut Saidina Ali sebagai tidak adil. Empayar Islam dipecahkan. Selepas Saidina Ali dibunuh pada tahun 661, anak Saidina Ali iaitu Saidina Hassan telah menjadi khalifah namun baginda telah mengambil keputusan untuk memberi jawatan khalifah kepada Muawiyah sebagai khalifah seluruh empayar Islam atas harapan Muawiyah dapat menyatukan umat Islam pada masa itu kerana Saidina Hassan tidak sanggup untuk melihat perpecahan umat Islam terus berlaku dihadapan matanya.Hal ini menyebabkan tertubuhnya Kerajaan Bani Ummaiyyah dan menyaksikan pertukaran pusat pemerintahan daripada Madinah ke Damsyik.
Empayar kekuasaan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Kuasa Bani Ummaiyyah berpusat kepada jajahan Byzantian di Syria dan mengekalkan pegawai tempatan yang bukan muslim sebagai pentadbir. Bani Ummaiyyah turut memusatkan usaha mereka kearah menguasai Mediterranean dan menakluk Konstentinopal. Banyak penaklukan dan pembukaan wilayah baru dibuat semasa pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Tentera Muslim berjaya menakluk Afrika Utara dan Iran pada lewat tahun 600-an, mengembangkan empayar Islam daripada Semenanjung Iberia di barat sehingga India di timur. Tentera Ummaiyyah pimpinan Tariq ibn Ziyad menyeberangi Selat Gibraltar dan menubuhkan pemerintahan di Semenanjung Iberia (Sepanyol) sementara baki tentera Islam yang lain menubuhkan pemerintahan di Sind, India.

Kerajaan Bani Ummaiyyah ditewaskan oleh Kerajaan Bani Abbasiyyah selepas tewas dalam perperangan pada tahun 750 masihi. Hal ini menyebabkan kebanyakan kaum keluarga Bani Ummaiyyah dibunuh oleh tentera Abbasiyyah. Seorang waris Bani Ummaiyyah iaitu Abd-ar-Rahman I mengambil pemerintahan Islam di Andalusia dan menubuhkan Kerajaan Bani Ummaiyyah Andalusia di sana.

Kronologi Kerajaan Bani Ummaiyyah

* 661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
* 670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
* 677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
* 680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
* 685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
* 700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
* 711M- Penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
* 712M- Tentera Ummaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
* 713M- Penaklukan Multan.
* 716M- Serangan ke atas Constantinople.
* 717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
* 725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
* 749M- Kekalahan tentera Ummaiyyah di Kufah, Iraq ditangan tentera Abbasiyyah.
* 750M- Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Khalifah Ummaiyyah di Damsyik

* Muawiyah I ibni Abu Sufyan, 661-680
* Yazid I ibni Muawiyah, 680-683
* Muawiyah II ibni Yazid, 683-684
* Marwan I ibni Hakam, 684-685
* Abd al-Malik ibni Marwan, 685-705
* al-Walid I ibni Abd al-Malik, 705-715
* Sulaiman ibni Abd al-Malik, 715-717
* Umar ibni Abd al-Aziz, 717-720
* Yazid II ibni Abd al-Malik, 720-724
* Hisham ibni Abd al-Malik, 724-743
* al-Walid II ibni Yazid II, 743-744
* Yazid III ibni al-Walid, 744
* Ibrahim ibni al-Walid, 744
* Marwan II ibni Muhammad, 744-750

Khalifah di Cordoba

* Abd ar-Rahman I, 756-788
* Hisham I, 788-796
* al-Hakam I, 796-822
* Abd ar-Rahman II, 822-852
* Muhammad I, 852-886
* al-Mundhir, 886-888
* Abdallah ibni Muhammad, 888-912
* Abd ar-Rahman III, 912-961
* Al-Hakam II, 961-976
* Hisham II, 976-1008
* Mohammed II, 1008-1009
* Sulaiman, 1009-1010
* Hisham II, menaiki takhta semula, 1010-1012
* Sulaiman, menaiki takhta semula, 1012-1017
* Abd ar-Rahman IV, 1021-1022
* Abd ar-Rahman V, 1022-1023
* Muhammad III, 1023-1024
* Hisham III, 1027-1031

Sahabat Rasulullah s.a.w.

Ini adalah sebahagian daripada Sahabat Rasulullah s.a.w. daripada Bani Ummaiyyah:

* Marwan ibni Al-Hakam
* Muawiyah ibni Abu Sufyan
* Abu Sufyan ibni Harb

Sejarah Hidup Rasulullah

Nabi Muhammad s.a.w. (sallallahu aleihi wassalam) (B. Arab: محمد) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu rahmat kepada manusia sekalian alam. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai pemimpin, ketua tentera dan juga sebagai pendamai. Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Walaupun diketahui bahawa Muhammad merupakan rasul dan nabi terakhir bagi umat manusia oleh orang Islam, tetapi orang-orang Yahudi dan Kristian enggan mengiktiraf Muhammad sebagai nabi dan rasul. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa.

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
Surah Al-Anbiya, ayat 107

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Kelahiran

Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Ismail, anak kepada Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.

Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Mekah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Masa remaja

Dalam masa remajanya, Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

Berumahtangga

Ketika berusia kira-kira 25 tahun, ayah saudara baginda menyarankan baginda untuk bekerja dengan kafilah (rombongan perniagaan) yang dimiliki oleh seorang janda yang bernama Khadijah. Baginda diterima bekerja dan bertanggungjawab terhadap pelayaran ke Syam (Syria). Baginda mengelolakan urusniaga itu dengan penuh bijaksana dan pulang dengan keuntungan luar biasa.

Khadijah begitu tertarik dengan kejujuran dan watak peribadinya yang mendorong beliau untuk menawarkan diri untuk mengahwini baginda. Baginda menerima lamarannya dan perkahwinan mereka adalah bahagia. Mereka dikurniakan 7 orang anak (3 lelaki dan 4 perempuan) tetapi ketiga-tiga anak lelaki mereka, Qasim, Abdullah dan Ibrahim meninggal semasa kecil. Manakala anak perempuan baginda ialah Ruqayyah, Zainab, Ummu Kalsum dan Fatimah az-Zahra. Khadijah merupakan satu-satunya isterinya sehinggalah beliau meninggal pada usia 51 tahun.

* Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w.

Bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara Nabi Muhammad s.a.w.

* Al-Harith bin Abdul Muthalib
* Muqawwam bin Abdul Muthalib
* Zubair bin Abdul Muthalib
* Hamzah bin Abdul Muthalib
* Al-Abbas bin Abdul Muthalib
* Abu Thalib bin Abdul Muthalib
* Abu Lahab bin Abdul Muthalib
* Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
* Hijl bin Abdul Muthalib
* Dzirar bin Abdul Muthalib
* Ghaidaq bin Abdul Muthalib
* Safiyah binti Abdul Muthalib
* 'Atikah binti Abdul Muthalib
* Arwa binti Abdul Muthalib
* Umaimah binti Abdul Muthalib
* Barrah binti Abdul Muthalib
* Ummi Hakim al-Bidha binti Abdul Muthalib

Kerasulan

Gua Hira tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w. memperoleh wahyu.

Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira', sebuah gua bukit dekat Mekah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.

Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira', Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata:
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."

Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah s.a.w. dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.

Marhalah Dakwah Rasulullah

Perjuangan dakwah Rasulullah yang boleh diringkaskan sebagai berikut:

* Pertama: Marhalah Tasqif - tahap pembinaan dan pengkaderan untuk melahirkan individu-individu yang menyakini pemikiran (fikrah) dan metod (thariqah) parti politik guna membentuk kerangka gerakan.

* Kedua: Marhalah Tafa’ul ma’al Ummah - tahap berinteraksi dengan umat agar umat turut sama memikul kewajiban dakwah Islam, sehingga umat akan menjadikan Islam sebagai masalah utama dalam hidupnya serta berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

* Ketiga: Marhalah Istilamil Hukmi - tahap pengambilalihan kekuasaan, dan penerapan Islam secara utuh serta menyeluruh, lalu mengembangkannya sebagai risalah Islam ke seluruh penjuru dunia.

Thalabun Nusrah

Thalabun Nusrah adalah detik bersejarah yang dapat dinukil didalam kitab sirah dan merupakan satu aktiviti penting dalam marhalah kedua perjuangan Rasulullah s.a.w. Lestari atau tidaknya dakwah ditentukan olehnya kerana keberlangsungan dakwah memerlukan dua aspek penting:-

* Pertama, untuk mendapatkan perlindungan (himayah) sehingga tetap dapat melakukan aktiviti dakwah dalam keadaan aman dan terlindung.

* Kedua, untuk mencapai tampuk pemerintahan dalam rangka menegakkan Daulah Islamiyah (Negara Islam) dan menerapkan hukum-hukum berdasarkan apa yang telah diturunkan Allah SWT dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Cabaran-cabaran

Apabila Rasulullah menyeru manusia ke jalan Allah, tidak ramai yang mendengar seruannya. Kebanyakkan pengikut baginda adalah dari anggota keluarganya dan dari golongan masyarakat bawahan, Antara mereka ialah Khadijah, Ali, Zayd dan Bilal. Apabila baginda memperhebat kegiatan dakwahnya dengan mengumumkan secara terbuka agama Islam yang disebarkannya, dengan itu ramai yang mengikutnya. Tetapi pada masa, baginda menghadapi berbagai cabaran dari kalangan bangsawan dan para pemimpin yang merasakan kedudukan mereka terancam. Mereka bangkit bersama untuk mempertahankan agama datuk nenek mereka.

Semangat penganut Islam meningkat apabila sekumpulan kecil masyarakat yang dihormati di Mekah menganut agama Islam. Antara mereka ialah Abu Bakar, Uthman bin Afan, Zubair bin Al Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ubaidillah bin Harith, Amr bin Nufail dan ramai lagi.

Akibat cabaran dari masyarakat jahiliyah di Mekah, sebahagian orang Islam disiksa, dianiaya, disingkir dan dipulaukan. Baginda terpaksa bersabar dan mencari perlindungan untuk pengikutnya. Baginda meminta Negus Raja Habsyah, untuk membenarkan orang-orang Islam berhijrah ke negaranya. Negus mengalu-alaukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.

Hijrah

Di Mekah terdapat Kaabah yang telah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s. beberapa abad lalu sebagai pusat penyatuan umat untuk beribadat kepada Allah. Sebelumnya ia dijadikan oleh masyarakat jahiliyah sebagai tempat sembahyang selain dari Allah. Mereka datang dari berbagai daerah Arab, mewakili berbagai suku ternama. Ziarah ke Kaabah dijadikan mereka sebagai sebuah pesta tahunan. Orang ramai bertemu dan berhibur dengan kegiatan-kegiatan tradisi mereka dalam kunjungan ini. Baginda mengambil peluang ini untuk menyebarkan Islam. Antara mereka yang tertarik dengan seruan baginda ialah sekumpulan orang dari Yathrib. Mereka menemui Rasulullah dan beberapa orang Islam dari Mekah di desa bernama Aqabah secara sembunyi-sembunyi. Setelah menganut Islam, mereka bersumpah untuk melindungi Islam, Rasulullah dan orang-orang Islam Mekah.

Tahun berikutnya, sekumpulan masyarakat Islam dari Yathrib datang lagi ke Mekah. Mereka menemui Rasulullah di tempat yang mereka bertemu sebelumnya. Kali ini, Abbas bin Abdul Muthalib, pakcik baginda yang belum menganut Islam hadir dalam pertemuan itu. Mereka mengundang baginda dan orang-orang Islam Mekah untuk berhijrah ke Yathrib. Mereka berjanji akan melayani mereka sebagai saudara seagama. Dialog yang memakan masa agak lama diadakan antara mayarakat Islam Yathrib dengan pakcik Rasulullah untuk memastikan mereka sesungguhnya berhasrat mengalu-alukan masyarakat Islam Mekah di bandar mereka. Rasulullah akhirnya bersetuju untuk berhijrah beramai-ramai ke bandar baru itu.

Mengetahui ramai masyarakat Islam merancang meninggalkan Mekah, masyarakat jahiliyah Mekah cuba menghalang mereka. Namun kumpulan pertama telahpun berjaya berhijrah ke Yathrib. Masyarakat jahiliyah Mekah bimbang hijrah ke Yathrib akan memberi peluang kepada orang Islam untuk mengembangkan agama mereka ke daerah-daerah yang lain.

Hampir dua bulan seluruh masyarakat Islam dari Mekah kecuali Rasulullah, Abu Bakar, Ali dan beberapa orang yang daif, telah berhijrah. Masyarakat Mekah kemudian memutuskan untuk membunuh baginda. Mereka merancang namun tidak berjaya. Dengan berbagai taktik dan rancangan yang teratur, Rasulullah akhirnya sampai dengan selamat ke Yathrib, yang kemudian dikenali sebagai, 'Bandar Rasulullah'.

Madinah

Di Madinah, kerajaan Islam diwujudkan di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Umat Islam bebas mengerjakan solat di Madinah. Musyrikin Makkah mengetahui akan perkara ini kemudiannya melancarkan beberapa serangan ke atas Madinah tetapi kesemuanya ditangkis dengan mudah oleh umat Islam. Satu perjanjian kemudiannya dibuat dengan memihak kepada pihak Quraish Makkah. Walau bagaimanapun perjanjian itu dicabuli oleh mereka dengan menyerang sekutu umat Islam. Orang Muslim pada ketika ini menjadi semakin kuat telah membuat keputusan untuk menyerang musyrikin Makkah memandangkan perjanjian telah dicabuli.

Pembukaan Kota Makkah

Untuk rencana lanjutan mengenai topik ini, sila lihat Pembukaan Kota Mekah

Pada tahun kelapan selepas penghijrahan ke Madinah berlaku, Nabi Muhammad s.a.w. berlepas ke Makkah. Tentera Islam yang seramai 10,000 orang tiba di Makkah dengan penuh bersemangat. Takut akan nyawa mereka terkorban, penduduk Makkah bersetuju untuk menyerahkan kota Makkah tanpa sebarang syarat. Nabi Muhammad s.a.w. kemudian mengarahkan supaya kesemua berhala dan patung-patung di sekeliling Kaabah dimusnahkan.

Meneladani Perbuatan Rasulullah S.A.W

Perbuatan-perbuatan yang dilakukan Rasulullah SAW dibagi menjadi dua macam. Ada yang termasuk perbuatan-perbuatan jibiliyah, iaitu perbuatan yang dilakukan manusia secara fitri, dan ada pula perbuatan-perbuatan selain jibiliyah. Perbuatan-perbuatan jibiliyah, seperti berdiri, duduk, makan, minum dan lain sebagainya, tidak ada perselisihan bahawa status perbuatan tersebut adalah mubah (harus), baik bagi Rasulullah S.A.W maupun bagi umatnya. Oleh kerana itu, perbuatan tersebut tidak termasuk dalam kategori mandub (sunat).

Sedangkan perbuatan-perbuatan yang bukan jibiliyah, boleh jadi termasuk dalam hal-hal yang ditetapkan khusus bagi Rasulullah S.A.W, dimana tidak seorang pun diperkenankan mengikutinya (haram); atau boleh jadi tidak termasuk dalam perbuatan yang diperuntukkan khusus bagi beliau. Apabila perbuatan itu telah ditetapkan khusus bagi Rasulullah S.A.W, seperti dibolehkannya beliau melanjutkan puasa pada malam hari tanpa berbuka, atau dibolehkannya menikah dengan lebih dari empat wanita, dan lain sebagainya dari kekhususan beliau; maka dalam hal ini kita tidak diperkenankan mengikutinya. Sebab, perbuatan-perbuatan tersebut telah terbukti diperuntukkan khusus bagi beliau berdasarkan Ijmak Sahabat. Oleh kerana itu tidak dibolehkan meneladani beliau dalam perbuatan-perbuatan semacam ini.

Akan halnya dengan perbuatan beliau yang kita kenal sebagai penjelas bagi kita, tidak ada perselisihan bahawa hal itu merupakan dalil. Dalam hal ini penjelasan tersebut boleh berupa perkataan, seperti sabda beliau:

صَلُّوْا كَمَا رَأَيْتُمُوْنِيْ أُصَليِّ
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat”

خُذُوْا عَنِّيْ مَنَاسِكَكُمْ
"Laksanakan manasik hajimu berdasarkan manasikku (apa yang telah aku kerjakan)"

Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan beliau merupakan penjelas, agar kita mengikutinya. Penjelasan beliau bisa juga berupa qaraain al ahwal, yakni qarinah/indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, seperti memotong pergelangan pencuri sebagai penjelas firman Allah SWT:

فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا
"Maka potonglah tangan keduanya." (Surah Al-Maidah : 38)

Status penjelas yang terdapat dalam perbuatan Rasulullah S.A.W, baik berupa ucapan maupun indikasi yang menerangkan bentuk perbuatan, dapat mengikuti hukum apa yang telah dijelaskan, apakah itu wajib, haram, mandub(sunat) atau mubah(harus) sesuai dengan arah penunjukan dalil.

Sedangkan perbuatan-perbuatan beliau yang tidak terdapat di dalamnya indikasi yang menunjukkan bahawa hal itu merupakan penjelas, bukan penolakan dan bukan pula ketetapan. Maka dalam hal ini perlu diperhatikan apakah di dalamnya terdapat maksud untuk bertaqarrub (mendekatkan diri kepada Allah) atau tidak. Apabila di dalamnya terdapat keinginan untuk bertaqarrub kepada Allah maka perbuatan itu termasuk mandub(sunat), di mana seseorang akan mendapatkan pahala atas perbuatannya itu dan tidak mendapatkan balasan jika meninggalkannya. Misalnya Solat Duha. Sedangkan jika tidak terdapat di dalamnya keinginan untuk bertaqarrub, maka perbuatan tersebut termasuk mubah(harus).

[sunting] Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W (Isi Khutbah terakhir rasulullah SAW)

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Kronologi perkembangan Islam

* 570M- Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan.
* 610M- Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama di Gua Hira'.
* 615M- Orang Muslim didera oleh puak Quraish. Hijrah pertama ke Habsyah.
* 616M- Saidina Hamzah dan Saidina Umar memeluk Islam. Hijrah kedua ke Habsyah.
* 619M- Khadijah (isteri nabi) dan Abu Talib (bapa saudara nabi) meninggal dunia. Melawat Taif. Peristiwa Isra dan Mi'raj berlaku.
* 621M- Baiatul Aqabah 1
* 622M- Baiatul Aqabah 2. Hijrah ke Madinah. Daulah Islamiyah dibina.
* 624M- Perang Badar.
* 625M- Perang Uhud.
* 627M- Perang Ahzab.
* 628M- Perjanjian Hudaybiyah.
* 629M- Perang Khaibar dan dalam menentang tentera Rom Byzantine, baginda menghantar tentera Islam dalam Perang Mu'tah.
* 630M- Pembukaan Makkah. Perang Hunain.
* 631M- Perang Tabuk.
* 632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Perlantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah.

Wednesday, August 5, 2009

Sejarah Islam

Pengenalan

Islam muncul di Semenanjung Arab pada kurun ke-7 masihi apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. Selepas wafatnya Rasullullah s.a.w. kerajaan Islam berkembang sejauh Lautan Atlantik di Barat dan Asia Tengah di Timur. Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan terdapat banyak kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul.

Walau bagaimanapun, kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Seljuk Turki Seljuk, kerajaan Uthmaniyyah Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.

Pada kurun ke-18 dan ke-19 masihi, banyak kawasan-kawasan Islam jatuh ke tangan penjajah Eropah. Selepas Perang Dunia I, Empayar Turki Uthmaniyyah iaitu empayar Islam terakhir tumbang menyembah bumi.

Nabi Muhammad s.a.w.

Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam merupakan sebuah kawasan yang tidak maju. Kebanyakkan orang Arab merupakan penyembah berhala dan ada sesetengahnya merupakan pengikut agama Kristian dan Yahudi. Mekah ialah tempat suci bagi bangsa Arab ketika itu kerana di situ terdapatnya berhala-berhala agama mereka dan juga terdapat Telaga Zamzam dan yang paling penting sekali Kaabah.

Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dalam Tahun Gajah (570 atau 571 masihi). Baginda merupakan seorang anak yatim lagi selepas ayahnya Abdullah dan emaknya Aminah meninggal dunia. Baginda dibesarkan oleh pakciknya iaitu Abu Talib. Baginda kemudiannya berkahwin dengan Siti Khadijah dan menjalani kehidupan yang selesa dan aman.

Namun demikian, ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia lebih kurang 40 tahun, baginda didatangi oleh Malaikat Jibril a.s. Selepas beberapa ketika baginda mengajar ajaran Islam secara tertutup kepada rakan-rakan terdekatnya dan seterusnya secara terbuka kepada seluruh penduduk Mekah.

Pada tahun 622 masihi, baginda dan pengikutnya berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini dipanggil Hijrah. Semenjak daripada peristiwa itu bermulalah Kalendar Islam.

Mekah dan Madinah kemudiannya berperang. Nabi Muhammad s.a.w. memenangi banyak pertempuran walaupun ada di antaranya tentera Islam tewas. Lama kelamaan orang-orang Islam menjadi kuat dan berjaya membuka Kota Mekah. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh Semenanjung Arab di bawah penguasaan orang Islam.

Perkembangan Islam
Semenanjung Arab selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Secara umumnya Sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. telah berkembang secara serius diseluruh dunia. Kerajaan Bani Ummaiyyah, Kerajaan Bani Abbasiyyah, dan Empayar Turki Uthmaniyyah boleh dikatakan penyambung kekuatan Islam selepas pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.

Khulafa ar-Rasyidin

Khulafa ar-Rasyidin atau Khulafa ar-Rasyidun (jamak kepada Khalifatur Rasyid) bererti wakil-wakil atau khalifah-khalifah yang benar atau lurus. Mereka waris kepimpinan Rasulullah selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w.. Perlantikan mereka dibuat secara syura iaitu perbincangan para sahabat atau pilihan khalifah sebelum. Selepas pemerintahan ini, kerajaan Islam diganti oleh kerajaan Ummaiyyah. Khulafa ar-Rasydin terdiri daripada empat sahabat:

* Saidina Abu Bakar, 632-634 M
* Saidina Umar Al-Khatab, (Umar І) 634-644 M
* Saidina Uthman Affan, 644-656 M
* Saidina Ali Abi Talib, 656-661 M

Selepas kematian Saidina Ali, pemerintahan jatuh kepada Muawiyah yang mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah


Kaitan

Hassan bin Ali dan Umar bin Abdul Aziz sering dikaitkan dengan Khulafa ar-Rasyidin.

Hassan bin Ali

Setelah ayahnya, Ali, meletakkan jawatan demi keamanan Muslimin, walaupun pucuk pemerintahan sudah diambil Muawiyah, penyokong Ali telah mengangkat Hassan sebagai khalifah di Iraq tetapi telah digulingkan oleh Muawiyah dalam tahun yang sama. Pilihan ini dirakam sebagai pilihan waris pertama dalam sejarah khalifah kerana tiada persetujuan am diadakan. Muawiyah kemudian memulakan zaman Ummaiyyah, zaman khalifah warisan yang pertama.

Umar bin Abdul Aziz

Beliau memang seorang khalifah pada zaman Ummaiyyah dan ternyata bukan antara Khulafa ar-Rasydin. Dikenali sebagai Umar ІІ, beliau juga dikenali sebagai seorang khalifah yang agung kerana menyerupai datuknya, Umar І (Saidina Umar Al-Khatab) dari segi sikap tegas tetapi adil dan kesentosaan yang dibawa kepada wilayahnya semasa wilayah itu sedang kucar-kacir; punca beliau diangkat untuk memerintah. Keagungan dan keadilan beliau menyebabkan beliau dikenali dalam sejarah yang disebarkan luas ke mana-mana Islam disebarkan. Hal ini menyebabkan beliau lebih terkenal daripada Hassan bin Ali dan disalahanggap sebagai antara Khulafa ar-Rasyidin.

Namun begitu para ulama' bersepakat dan mengakui mengatakan bahawa beliau adalah mujaddid bagi kurun pertama Hijrah

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq

Semasa Rasulullah s.a.w. sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat orang Islam. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang khalifah bagi memimpin umat Islam. Hasil daripada perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali antaranya ialah golongan Syiah. Tentangan itu tamat selepas Saidina Ali Abi Talib membaiahkan Saidina Abu Bakar. Antara kejayaan yang diperoleh Saidina Abu Bakar ialah melancarkan kempen untuk menghapuskan golongan Riddah dan nabi palsu dalam siri Peperangan Islam-Riddah, pengumpulan Al Quran, dan berjaya menawan beberapa kawasan milik Empayar Parsi dan Byzantine.

Beliau wafat pada tahun 634.

Khalifah Umar al-Khatab

Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 masihi. Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.

Semasa pemerintah Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Pada tahun 638, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut.

Saidina Umar banyak melakukan perubahan terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk, memberi upah kepada tentera & membuat jadual giliran bertugas, mewujudkan pejabat pos untuk surat menyurat, menyelaras aliran sungai untuk tujuan penanaman dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.

Saidina Umar wafat pada tahun 644 selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah.

Khalifah Uthman Affan

Saidina Uthman menjadi khalifah selepas Saidina Umar Al-Khatab dibunuh pada tahun 644. Beliau memerintah selama dua belas tahun iaitu dari tahun 644 sehingga tahun 656. Antara pembaharuan yang dibuat ialah menubuhkan Angkatan Tentera Laut yang diketuai oleh Muawiyah dan membuat dasar terbuka dalam hubungan politik & urusan dagangan

Semasa pemerintahannya, keseluruhan Iran, sebahagian daripada Afrika Utara, dan Cyprus menjadi sebahagian daripada empayar Islam.

Saidina Uthman wafat pada tahun 656 akibat dibunuh oleh pemberontak yang tidak puas hati dengan pemerintahannya.

Khalifah Ali bin Abu Talib

Pada tahun 656 masihi, khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman Affan wafat kerana dibunuh di dalam rumahnya sendiri. Segelintir masyarakat kemudiannya mencadangkan Saidina Ali supaya menjadi khalifah tetapi Saidina Ali menolak. Tetapi selepas didesak oleh pengikutnya, beliau akhirnya menerima untuk menjadi khalifah.

Ketika pemerintahannya telah terjadi dua perang saudara di kalangan umat Islam iaitu Perang Jamal (Perang Unta) antara tentera pimpinan Saidina Ali dengan pengikut Aishah binti Abu Bakar, Zubair ibn Awwam dan Talhah ibn Ubaidillah yang mengakibatkan Zubair dan Talhah terkorban sementara Perang Siffin pula membabitkan penentangan Muawiyah yang ketika itu berpusat di Damsyik. Dalam peperangan ini, Ammar ibn Yasir terkorban. Penentangan ini berjaya ditamatkan apabila empayar Islam dipecahkan kepada dua.

Saidina Ali wafat pada tahun 661 akibat dibunuh ketika beliau hendak bersolat subuh.

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Palembang beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam. Hal ini berubah pada tahun 1409[1] apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka. Pada 1528, seorang putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah II menubuhkan Kesultanan Johor bagi mewarisi Kesultanan Melaka.

Parameswara

Menurut Sejarah Melayu, Parameswara (nama asal baginda ialah Dharmaraja) adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya dari Bintan bernama Sang Nila Utama telah menawan Temasek dan menubuhkan kerajaan Singapura lama. Baginda memerintah selama 48 tahun dan diiktiraf sebagai Raja Singapura oleh satu utusan dari Maharaja China pada tahun 1366. Baginda secara rasmi bergelar Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tri Buana, Batara Sri Tri Buana bermaksud "Yang Dipertuan kepada tiga dunia" melambangkan kekuasaan baginda ke atas Palembang, Bintan dan Temasek. Terdapat tiga orang lagi Raja dari keturunan baginda yang memerintah Singapura iaitu, Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401). Pada 1401, kerajaan Majapahit menyerang Singapura dengan bantuan Bendahara yang belot, Sang Rajuna Tapa. Parameswara yang tewas melarikan diri dengan baki pengikutnya ke semenanjung tanah melayu untuk membuka ibu negeri yang baru.[2][3]

Menurut "Suma Oriental", Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura ("orang yang berani"). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura. Setelah membunuh wakil Raja Siam (bernama Tamagi) di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.

Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Paramesawara melarikan diri ke semenanjung tanah melayu untuk mendiirikan penempatan baru. Di Muar, Parameswara dikatakan berhasrat mendirikan negeri barunya samada di Biawak Busuk atau Kota Buruk. Bagaimanapun, setelah mendapati Muar tidak sesuai baginda membatalkan hasratnya dan meneruskan perjalanan ke utara. Di tengah perjalanannya, baginda dikatakan singgah di Sening Ujung (nama lama Sungai Ujong) sebelum sampai ke sebuah kampung nelayan di muara Sungai Bertam (nama lama Sungai Melaka). Di sinilah baginda mendirikan ibu kota baru untuk negerinya dan menamakannya Melaka. Menurut catatan Sejarah Melayu, di sinilah baginda melihat seekor kancil menendang seekor anjing ketika baginda berehat di bawah pohon Melaka. Menganggapnya sebagai tanda "tuah", baginda menamakan negeri itu Melaka.

Negeri Melaka kemudiannya meneruskan warisan Srivijaya sebagai sebuah entiti politik Melayu di kepulauan Melayu.[6][7]

Parameswara yang menjadi raja Melaka ketika itu dikatakan menyedari bahawa usaha untuk memajukan Melaka adalah dengan memperkembangkan Islam kerana pedagang dari Gujerat , India dan pedagang Arab dari Timur Tengah ramai berdagang di Nusantara. Oleh itu, menurut cerita itu, Parameswara berkahwin dengan Puteri Ratna anak Sultan Makhdum Alaiddin Malik Muhammad Amin Syah II, Raja Perlak dan memeluk Islam pada 1414.

Tanggapan yang umum itu berasal daripada tanggapan salah bahawa Parameswara dan Sultan Megat Iskandar Shah adalah tokoh yang sama. Kajian telah menunjukkan bahawa kedua-dua nama itu adalah dua tokoh yang berasingan (Wang Gungwu, 1968). Sebenarnya, Parameswara telah mangkat pada tahun 1414. Menurut laporan Ma Huan, Megat Iskandar Shah memeluk Islam ketika berumur 72 tahun kerana mengahwini puteri Raja Pasai dari Sumatera. [1]

Melaka kemudiannya telah menjadi satu pelabuhan perniagaan yang terpenting di Asia Tenggara di mana kapal-kapal perniagaan dari pelbagai bangsa berhimpun.

Pengiktirafan armada Laksamana Cheng Ho terhadap Melaka semakin menguntungkan Melaka. Cheng Ho atau Zheng He seorang yang berugama Islam. Nama Islam Cheng Ho ialah Ma Sam Pao. Ma bermaksud Mohamad. Ketika itu China ditadbir oleh Maharaja Yung Lo.

Kekuatan Kerajaan Melayu Melaka semakin terserlah di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ( 1446- 1459 M) .Tenteranya berjaya menyekat serangan-serangan tentera Siam. Keadaan negara negara menjadi tenang dan kedudukan politiknya pula stabil.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".

Ancaman serangan daripada pihak Siam menyebabkan keputusan Parameswara membayar ufti kepada negara China pada tahun 1409 supaya mendapat perlindungan. Pada tahun 1411, diiringi oleh Laksamana Cheng Ho, beliau melawat negara China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Maharaja Ming, Yung Lo.
Kelihatan Pedagang-pedagang Arab bersembahyang di Pelabuhan Melaka

Parameswara memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada "Raja Megat Iskandar Shah".

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran "Sultan Muhammad Shah" (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran "Sultan Abu Syahid".
Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran "Sultan Muzaffar Shah" (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran "Bendahara Paduka Raja". Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.


KESULTANAN MELAKA
Tempoh Sultan
1400 – 1424 Sultan Iskandar Shah
1424 – 1444 Sultan Muhammad Shah
1444 – 1445 Sultan Abu Syahid
1445 – 1459 Sultan Muzaffar Shah
1459 – 1477 Sultan Mansur Shah
1477 – 1488 Sultan Alauddin Riayat Shah
1488 – 1511 Sultan Mahmud Shah


Kegemilangan Kesultanan Melaka
Melaka pada kemuncak zaman kegemilangannya.

Pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah (1459 - 1477) menaiki takhta. Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal. Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Untuk menyambut Hang Li Po, Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpatih Putih dengan segolongan pengiring ke negeri China untuk mengiringnya. Hang Li Po tiba di Melaka pada tahun 1458 bersama-sama 500 orang pengiring.

Salah satu kesan kebudayaan yang berpunca daripada peristiwa ini ialah wujudnya kelompok kaum Peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan. Kaum Peranakan ini juga dikenali sebagai orang Baba dan Nyonya pada hari ini.

Semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya dan terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan. Majapahit kemudiannya tumbang pada kurun ke-15. Siam pula telah menyerang Melaka sebanyak tiga kali tetapi kesemua cubaan serangan tersebut telah gagal.

Kejayaan Melaka

Selepas Melaka muncul sebagai sebuah pusat perdagangan baru menggantikan Srivijaya pada Abad ke-15, Melaka telah berjaya mencapai kejayaan yang lebih besar kesan daripada faktor perdagangan yang semakin berkembang pesat. Melaka telah muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Tanah Melayu yang setaraf dengan kuasa besar lain seperti Siam, Srivijaya, dan China. Melaka yang pada mulanya merupakan sebuah kerajaan kecil telah berkembang dan mengambil alih peranan pusat perdagangan yang dulunya dipegang oleh Srivijaya. Kejayaan menarik tumpuan perdagangan dari Srivijaya ini telah mengangkat martabat Melaka ke tahap yang lebih tinggi kerana pada zaman dahulu hanya kuasa-kuasa besar sahaja yang mampu untuk mengendalikan pusat perdagangan yang cekap dan berupaya menyediakan kemudahan infrastruktur yang moden.

Keupayaan Melaka telah menyebabkan sebilangan negeri yang dulunya berada di bawah kekuasaan kuasa Siam dan Jawa telah meminta naungan dan perlindungan daripada kekuasaan Melaka. Contoh negeri tersebut ialah seperti Bernam, Klang, Selangor, Sungai Ujung, Kedah, dan Patani yang secara sukarela datang mendapatkan nobat daripada Melaka. Manakala Pasai pula sebagai ‘abang tua’ dalam perdagangan dan agama, sentiasa ‘berkirim salam’ dengan Melaka. Bukti kemunculan Melaka sebagai satu kuasa besar yang baru ialah Melaka telah dua kali berjaya menangkis serangan Siam dan akhirnya berjaya menguasai Kelantan, menjelang kurun ke-16 Melaka telah memutuskan hubungan hormat dengan Siam. Hal ini menunjukkan Melaka bukan sahaja berjaya mencontohi kejayaan Srivijaya dalam perdagangan tetapi juga dari segi perluasan wilayah.

Kejayaan Melaka memainkan peranannya sebagai sebuah enterport baru dapat dilihat dalam tiga bentuk iaitu bertindak sebagai penerima atau pembeli barang-barangan, menjadi pengantara menemukan pedagang Timur dan Barat termasuk Nusantara, dan juga bertindak sebagai penyebar barang-barangan yang dibawa ke Melaka ke tempat lain. Walaupun Melaka merupakan warisan Srivijaya, namun pencapaian Melaka adalah berbeza daripada Srivijaya kerana Melaka merupakan tempat yang menjadi asas kepada pegangan yang menjadi nadi menggerakan seluruh kegiatan pemerintahan dan rakyatnya sehingga kini.

Kejatuhan Melaka

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka yang telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Bendahara Tun Perak, pencipta keunggulan Melaka, telah tua. Begitu juga dengan Laksamana Hang Tuah. Pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga mengalami rancangan jahat dan pilih kasih. Beliau bukan seorang raja yang cekap, akan tetapi beliau juga seorang mangsa keadaan. Ayahandanya (Sultan Alaudin Riayat Shah) mangkat pada usia yang masih muda. Oleh itu baginda menaiki takhta ketika masih kanak-kanak. Portugal pada awal abad ke-16 sedang mengasaskan sebuah empayar luar negeri.

Pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.

Orang-orang Portugis berminat berdagang di Melaka

Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.

Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.

Pada 1526, pihak Portugis membalas dengan seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dan memusnahkan ibu kota Bentan. Sultan Mahmud Shah melarikannya ke Kampar, Sumatera tetapi anakandanya, Tengku Alauddin Shah tinggal dan mengembangkan Johor sebagai sebuah empayar yang berkuasa dan yang mencapai keunggulannya pada abad ke-18 dan ke-19. Lagi seorang anakanda Sultan Mahmud Shah, Tengku Muzaffar Shah, dijemput oleh orang-orang utara untuk menjadi sultan mereka dan beliau mengasaskan Kesultanan Perak

Sultan Mahmud Shah mangkat dua tahun kemudian di Kampar pada tahun 1526.